Sunday, 20 December 2015

Tetamu Allah ~Meninggalkan yang dikasihi, mencari yang abadi

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk bangun melihat wajah anak-anak dan husben lagi pagi ini. Si kecik meragam. Sampai dirumah pengasuh takmau turun kereta. Selalunya dia tu ok ja. 

Saya mahu menulis kembali kenangan ketika menjalankan ibadah umrah Februari 2015 dahulu. Untuk tatapan diri sendiri dimasa hadapan.

Setelah saya dan husben confirm urusan pendaftaran umran kami, hati saya rasa kosong. Mencari jawapan tentang urusan anak disini. Saya dan husben memang tak pernah berenggang dengan anak. Kemana pun kami bawak. Kalau saya outstation, husben ambik cuti mengikut saya dan bawak anak-anak sekali. Rasa sayu ingatkan si kecik. Bolehka dia? Kepada Allah saya berserah. Saya hanya maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan tentang umrah kami sebulan sebelum berangkat. 

Siapalah saya tanpa mak ayah, suami, adik-adik dan ipar-ipar. Mereka banyak membantu. Memapah ketika rebah, mengusik ketika suka. Persiapan kesana kami buat ala kadar sebab kewangan agak terhad. Perlu tinggal belanja buat anak-anak disini. Itu lagi penting. Anak-anak kami tinggalkan pada mak ayah saya. Masa kami menjalankan umrah, di Malaysia sambut Chinese New Year. Masa CNY, kakak ipar bawak anak-anak makan angin. 

Muhammad Syahmi si abang menampakkan leadershipnya semakin dekat tarikh kami berangkat. Kami titipkan pesanan dia perlu menjaga adik-adik semasa kami tiada. Kasihnya saya pada dia. Saya doakan dia menjadi seorang tahfiz, menjadi anak yang soleh, pemimpin yang adil dan manusia yang penuh kasih-sayang. Imanina anak yang cerdas. Ada akal fikiran tersendiri dan perlu sentiasa dipantau. Anak perempuan amanat dan tanggungjawab besar kami. Aqilah baru mengenal dunia. Semua mahu dicuba. 

Malam kami bertolak, saya salam dan sayang anak-anak dan bawa mereka tidor dirumah mak ayah. Saya bagitahu, lagi 2 minggu mama balik. Nanti kita jumpa lagi. Si kecik saya masukkan dalam buaian. Tapi tak mahu lelap dia. Habis lagu saya zikirkan, masih belum lena. Saya belum bersiap. Akhirnya ayah ambik alih dan suruh saya bersiap. Bersiap saya dan husben. Adik lelaki tolong hantar kami di Tol Sungai Lalang. Bas menjemput kami disana.

Tinggal semua, yang dikasihi. Mencari cinta abadi, melangkah pergi. Semoga ibadah umrah diterima Illahi.

Tetamu Allah ~ Allah Maha Mendengar

Assalamualaikum semua. Semoga Allah sentiasa melindungi anak-anak kita, ahli keluarga kita serta sahabat handai kita dari bala bencana.

Dua orang kenalan rapat ditempat kerja mendapat jemputan umrah pada tahun 2014. Hati saya sangat tersentuh. Terbayang-bayang kain Kaabah melambai-lambai. Kemahuan hendak ke sana menbuatkan hati rasa hiba. Saya dan husben tak mampu. Ada banyak yang perlu diuruskan. Bila terdengar kenalan dapat ke Mekah, kerap saya hantar sms pada husben 'Jom pi Mekah'. Husben melayan 'Ok. Jom'.

Saya titipkan doa dalam sembahyang. Nak sangat-sangat pi ni Ya Allah. permudahkan urusan kami dan Allah Maha Mendengar..hujung 2014, saya dan husben mendapat jemputanNya. Company husben taja husben ke sana dan saya perlu bayar kos sendiri. Alhamdulillah..kami rebut peluang ini. Kami kumpul dan korek duit untuk membayar tambang dan belanja disana. Bulan Februari 2015, saya dah suami berangkat menunaikan umrah.

Sungguh indah bumi pilihan Allah. Madinah penuh kedamaian dan Mekah mengajar saya erti kecintaan.


Menitis air mata saat sujud di Masjid Nabawi. Rasulku ada di masjid ini. 'Aku datang Ya Rasulullah. Aku datang'. Rasa diri sangat kerdil. Disuatu waktu, saya terlewat ke masjid. Jika terlewat, sembahyang didataran sahaja jawabnya. Saya berdoa tanpa henti 'Rabbi yassir wala tu 'assir, rabbi tammim bil khoir'. Sampai di masjid, mencelah saya didalam ribuan wanita. Sudah penuh disetiap celah. Berdiri saya diantara saf. Masih berdoa tanpa henti dan tiba-tiba seorang wanita arab melambai saya dari jauh. Ada ruang kosong ditepi kerusinya. Ya Allah...luluh rasa hati, Allah perkenankan doaku yang hina ini. Sembahyang sunat berjujuran air mata ditepi wanita Arab itu hinggakan dia menepuk bahu. Ya Allah..Allah Maha Mendengar.